Khamis, 25 Julai 2013

Marah...

Assalamualaikum...
Tiba-tiba saya teringat tentang sebuah cerita. Saya pun sudah lupa dari mana saya baca atau dengar cerita ini, tapi saya akan kongsikan sedikit jalan ceritanya.
*
*
*
Ada seorang pemuda yang panas baran orangnya. Dia seorang yang cepat marah andai ada orang melakukan kesilapan kepadanya. Apabila dia marah, dia mudah untuk mengeluarkan kata-kata yang amat menyakitkan hati orang yang dimarahinya. Sudah banyak kali keluarganya menegur agar dia mengawal kemarahannya dan menjaga kata-katanya ketika marah, tetapi perbuatan mereka hanya seperti mencurahkan air ke daun keladi.

Pada suatu hari, ayah pemuda itu mengajaknya ke belakang rumah. Ayahnya menyuruh dia membawa tukul dan paku. Di sana, terdapat sebatang kayu papan yang agak besar. Selepas itu, pemuda itu bertanya kepada ayahnya akan tujuan mereka ke situ. Ayahnya kemudian memesan agar setiap kali dia marah dia mesti menukul sebiji paku ke atas papan itu dan setiap kali dia meminta maaf kepada orang yang dimarahinya, dia mesti cabut kembali paku tersebut.  Pemuda itu berasa pelik namun diikutkan saja kehendak ayahnya itu. 

Setelah sebulan berlalu, ayah pemuda itu pun mengajak pemuda itu agar ke belakang rumah mereka bersama-sama untuk melihat akan keadaan papan tersebut. Ketika ayahnya melihat papan tersebut, sudah banyak paku yang telah dilekatkan dan sudah banyak paku yang telah dicabut berdasarkan kesan yang ditinggalkan pada papan tersebut. Pemuda itu pun bertanya kepada ayahnya akan tujuan ayahnya menyuruhnya berbuat begitu. Ayahnya pun menerangkan bahawa kesan pada paku itu melambangkan orang yang telah dimarahi oleh anaknya itu. Walaupun anaknya telah meminta maaf kepada orang yang dimarahinya, ia tetap akan meninggalkan kesan dalam hati mereka sepertimana yang digambarkan oleh kesan paku yang dicabut daripada papan itu.

Akhirnya pemuda itu mengerti akan tujuan ayahnya yang sebenar. Dia tersedar akan kesilapan dirinya selama ini dan bertekad ingin berubah ke arah yang lebih baik. Dia juga mengucapkan terima kasih kepada ayahnya kerana telah menyedarkannya.

Ok, setakat itu saja coretan saya kali ini. Antara pengajaran yang boleh kita dapati daripada cerita ini ialah:

  1. Kita mesti pandai mengawal kemarahan kita.
  2. Kita mesti pandai menegur orang lain dengan penuh hikmah agar mereka mudah menerima teguran kita.
  3. Berubahlah ke arah kebaikan selagi kita dikurniakan kesempatan.
Akhir kata, jangan marah-marah. Nanti lekas tua.^_^

>nukilantitiankehidupan<



**sumber imej: mr. google**


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...