Rabu, 3 Februari 2016

Tahun Baru 2016

2016

         Pejam celik, pejam celik, kita sudah berada di tahun 2016. Alhamdulillah, masih diberi umur yang panjang dan peluang untuk mencelikkan mata dan berada di tahun 2016 ini. Sungguhpun tahun ini kita akan mengalami masalah kegawatan ekonomi, tapi kita harus bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk berusaha untuk menambahkan bekalan kita untuk tempat yang kita akan tuju nanti. kerana sesungguhnya setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian. Meskipun apa yang kita hadapi sepanjang hidup ini,  kita haruslah tabah kerana setiap kesulitan itu pasti ada kesenangan. Setakat itu saja coretan saya untuk pos yang pertama di tahun baru ini.










Sabtu, 19 Julai 2014

Percayalah, Setiap yang Berlaku Ada Hikmahnya...(MH17)

      Pada tanggal 18 Julai 2014, rakyat Malaysia dikejutkan lagi dengan peristiwa terhempasnya pesawat Boeing 777-200 MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal.Pesawat ini yang dijangka tiba lebih kurang pukul 6.10 pagi 18 Julai di KLIA telah terhempas lebih kurang pukul 12.00 pagi. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini marilah kita berdoa agar saudara-saudara kita yang menjadi nahas dalam kapal terbang itu ditempatkan  di kalangan orang-orang yang beriman dan semoga Allah kuatkan hati keluarga mereka untuk menghadapi ujian ini dengan redha. Amiin.

#Al-Fatihah

Khamis, 17 Julai 2014

Gaza,Palestin..(Pray for Them)

Assalamualaikum,,
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang...





Pada malam tadi, seorang rakyat Palestin, saudara Muaz, yang kini sedang belajar di Universiti Islam Antarabangsa,UIA, telah datang ke masjid di Rembau untuk mengimami Solat Sunat Tarawikh dan pada masa yang sama untuk memberi tazkirah sedikit tentang Palestin, khususnya Gaza.

Pada awal tazkirahnya, beliau telah menceritakan serba sedikit tentang Gaza. Menurutnya, Gaza hanyalah sebahagian kecil daripada Palestin dan bilangan penduduk Islamnya lebih kurang 2 bilion orang.
Beliau juga menceritakan bahawa rejim Zionis telah membina tembok setinggi 15 meter di sekeliling Gaza. Selain itu, rakyat Gaza hanya dibenarkan untuk memancing hanya sejauh 3 kilometer di laut dan jika mereka melepasi sempadan itu mereka akan ditembak. Betapa KEJAMNYA REJIM ZIONIS terhadap mereka. Setakat 3 km itu, berapa sangatlah ikan yang dapat ditangkap oleh penduduk Gaza.

Seterusnya,saya tidak ingatlah bila ia berlaku tapi tentera Israel Laknatullah telah menculik seorang kanak-kanak Gaza yang baru berusia 11 tahun. Ketika dalam tahanan Israel, dia telah dipaksa untuk meminum petrol dan badannya telah disiram dengan petrol sebelum dibakar. Jujur saya katakan, tentera-tentera Israel ini langsung tidak mempunyai perikemanusian bahkan mereka lebih teruk lagi dari haiwan.

Rejim Zionis juga melakukan serangan daripada udara untuk membunuh para Mujahidin termasuk orang awam,wanita dan kanak-kanak.

Sebelum mengakhiri tazkirahnya, saudara Muaz juga menyampaikan pesanan kepada kita untuk menolong rakyat di Gaza, Palestin. Beliau meminta kita untuk mendoakan rakyat-rakyat di sana kerana sesungguhnya doa itu merupaka senjata seorang Muslim. Kita juga digalakkan untuk bersedekah kepada mereka seberapa banyak yang kita mampu dan niatkanlah sedekah kita itu hanya kerana Allah.

Setakat itu saja perkongsian saya pada kali ini. 

#untuk maklumat lanjut mengenai Palestin bolehlah layari laman web ini.

Jumaat, 14 Februari 2014

Ikan atau Pancing???

Assalamualaikum semua,
Jujur. Lima bulan itu adalah satu tempoh yang sangat lama. Banyak perkara yang telah berlaku. Dari mula sambung belajar sebagai pelajar tahun 1, sem 1 sehingga keputusan peperiksaan  keluar, barulah saya dapat menulis kembali dek kerana kesibukan..(sibuk ke??) Sebenarnya malas..hehe
Ok, kembali kepada tujuan asal.
#
#
#
Cuba anda semua fikirkan sejenak, antara ikan dan pancing, mane lebih baik..
Bagi orang yang tidak berfikir panjang, mungkin dia akan memilih ikan dan sebaliknya.
(ish..ape kaitan pancing dengan ikan ni..)

Bagi orang yang pilih ikan, mungkin dia akan rasa gembira kerana dia sudah ada bahan untuk dijadikan lauk pada hari ini, tetapi dia tidak sedar yang ikan itu akan habis dalam masa yang singkat.
Berbeza pula dengan orang yang memilih pancing, dia akan sentiasa dapat ikan selagi dia manfaatkan pancing yang dia ada itu dengan sebaik-baiknya. Mungkin jika dia ambil ikan dia akan dapat manfaatnya dengan segera tanpa perlu bersusah payah, tetapi dia lebih memikirkan kebaikannya untuk jangka masa yang panjang.  ada faham..hehe

Betul kata orang kesenangan tidak akan datang bergolek. Jika senang kita dapat sesuatu, senanglah untuk kita kehilangannya. Segalanya perlukan usaha. Semuanya menuntut pengorbanan.

Berbalik kepada ikan dan pancing itu tadi, orang yang memilih ikan akan sentiasa mengharapkan ikan sahaja, manakala orang yang memilih pancing itu boleh menggunakannya dengan sebaik-baiknya untuk memancing ikan pada bila-bila masa yang dia mahu.
Kesimpulannya, cuba kita kaitkan dengan kehidupan kita, jika ada orang yang meminta pertolongan daripada kita, pertolongan yang macam mana yang kita akan beri. Ikan atau pancing?

Keputusan terletak pada diri anda,
Renung-renungkan dan selamat beramal.. ^_^








  (## ikan dan pancing hanyalah sebagai analogi) 

Rabu, 21 Ogos 2013

Kagum Dengan Mereka :)

Sejak saya cuti, saya selalu nampak dan terdengar mereka lalu di depan rumah. Tiap-tiap minggu mesti mereka ada lalu di depan rumah. Tidak kiralah ada hasil ataupun tidak mereka tetap melewati setiap pelusuk taman saya ini tanpa mengenal erti penat dan jemu.
*
*
*
Tilam! Tilam! Tilam lama tukar baru!
 Tilam! Tilam! Tilam lama tukar baru!
*
*
*
Saya rasa mesti kamu, kamu dan kamu sudah dapat meneka siapakah gerangan mereka itu dan pekerjaan mereka. Sungguh, saya kagum dengan mereka. Dengan usaha mereka. Dengan kesabaran mereka. Sungguh, saya kagum dengan mereka. Mungkin ada segelintir yang memandang rendah akan mereka tapi saya tetap kagum dengan mereka. 
*
*
*
Cuba kita bayangkan bukan mudah pekerjaan mereka. Saya beranggapan mereka adalah seorang yang sanggup menanggung risiko. Manakan tidak, jika tiada seorang pun pelanggan pada hari itu, mereka akan mengalami kerugian. Kerugian masa dan wang ringgit yang sekurang-kurangnya pun untuk membeli minyak kenderaan.
*
*
*
Sekali lagi,, saya kagum dengan mereka. Saya yakin semua usaha yang mereka ataupun yang saya dan kamu lakukan akhirnya pasti akan membuahkan hasil walaupun sedikit dan walaupun lambat...Percayalah :)

Akhir sekali ingin sekali saya petik kata-kata yang saya dapat daripada drama Korea To The Beautiful You,
Miracle Is Another Word For Hardwork so, hwaiting...hehe

>nukilantitiankehidupan<

sumber: encik google

Khamis, 25 Julai 2013

Marah...

Assalamualaikum...
Tiba-tiba saya teringat tentang sebuah cerita. Saya pun sudah lupa dari mana saya baca atau dengar cerita ini, tapi saya akan kongsikan sedikit jalan ceritanya.
*
*
*
Ada seorang pemuda yang panas baran orangnya. Dia seorang yang cepat marah andai ada orang melakukan kesilapan kepadanya. Apabila dia marah, dia mudah untuk mengeluarkan kata-kata yang amat menyakitkan hati orang yang dimarahinya. Sudah banyak kali keluarganya menegur agar dia mengawal kemarahannya dan menjaga kata-katanya ketika marah, tetapi perbuatan mereka hanya seperti mencurahkan air ke daun keladi.

Pada suatu hari, ayah pemuda itu mengajaknya ke belakang rumah. Ayahnya menyuruh dia membawa tukul dan paku. Di sana, terdapat sebatang kayu papan yang agak besar. Selepas itu, pemuda itu bertanya kepada ayahnya akan tujuan mereka ke situ. Ayahnya kemudian memesan agar setiap kali dia marah dia mesti menukul sebiji paku ke atas papan itu dan setiap kali dia meminta maaf kepada orang yang dimarahinya, dia mesti cabut kembali paku tersebut.  Pemuda itu berasa pelik namun diikutkan saja kehendak ayahnya itu. 

Setelah sebulan berlalu, ayah pemuda itu pun mengajak pemuda itu agar ke belakang rumah mereka bersama-sama untuk melihat akan keadaan papan tersebut. Ketika ayahnya melihat papan tersebut, sudah banyak paku yang telah dilekatkan dan sudah banyak paku yang telah dicabut berdasarkan kesan yang ditinggalkan pada papan tersebut. Pemuda itu pun bertanya kepada ayahnya akan tujuan ayahnya menyuruhnya berbuat begitu. Ayahnya pun menerangkan bahawa kesan pada paku itu melambangkan orang yang telah dimarahi oleh anaknya itu. Walaupun anaknya telah meminta maaf kepada orang yang dimarahinya, ia tetap akan meninggalkan kesan dalam hati mereka sepertimana yang digambarkan oleh kesan paku yang dicabut daripada papan itu.

Akhirnya pemuda itu mengerti akan tujuan ayahnya yang sebenar. Dia tersedar akan kesilapan dirinya selama ini dan bertekad ingin berubah ke arah yang lebih baik. Dia juga mengucapkan terima kasih kepada ayahnya kerana telah menyedarkannya.

Ok, setakat itu saja coretan saya kali ini. Antara pengajaran yang boleh kita dapati daripada cerita ini ialah:

  1. Kita mesti pandai mengawal kemarahan kita.
  2. Kita mesti pandai menegur orang lain dengan penuh hikmah agar mereka mudah menerima teguran kita.
  3. Berubahlah ke arah kebaikan selagi kita dikurniakan kesempatan.
Akhir kata, jangan marah-marah. Nanti lekas tua.^_^

>nukilantitiankehidupan<



**sumber imej: mr. google**


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...